MyMetroArena
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Rayuan Persatuan
Bolasepak Kedah (KFA) untuk mendapatkan bayaran pampasan lebih tinggi daripada
pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain mudanya, Akhyar Rashid ditolak
oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan
FAM hari ini, selepas menilai fakta dan peraturan ditetapkan, Jawatankuasa
Rayuan berpendapat jumlah pampasan RM75,000 yang sudah ditetapkan Jawatankuasa
Status Pemain awal bulan ini dikekalkan.
Jawatankuasa Rayuan FAM yang
bermesyuarat semalam dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff
mencapai kata sepakat jumlah pampasan berkenaan tidak dibuat
sewenang-wenangnya, sebaliknya ia mengikut artikel dalam Peraturan Status &
Perpindahan Pemain FAM.
"Jumlah RM210,000 itu adalah
berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya
bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak
atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.
"Jumlah RM75,000 pula adalah
dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan
Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM," menurut
kenyataan itu.
Sebelum ini, KFA menyifatkan
pihaknya menganggap isu berkenaan belum selesai dan akan mengemukakan rayuan
kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan
nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat
Akhyar.
Difahamkan, Akhyar masih memiliki
kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak
sebanyak RM210,000.
Bagaimanapun, keputusan
Jawatankuasa Rayuan FAM itu memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan
mana-mana pasukan berhak mendapatkan Akhyar dengan nilai RM75,000 bersama
jumlah tebus kontrak berjumlah RM210,000.
"Jumlah RM75,000 tersebut
adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperoleh KFA
dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak. Untuk itu, secara
keseluruhan KFA akan menerima sejumlah RM285,000," menurut kenyataan itu
lagi.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:21 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan