MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain muda
berbakat besar, Akhyar Rashid dinasihatkan agar memikirkan semasak-masaknya
mengenai masa depan apabila dikaitkan bakal berhijrah ke Perlis musim depan.
Menurut bekas pemain kebangsaan,
Serbegeth Singh, pasukan Perlis bukanlah destinasi terbaik buat pemain seperti
Akhyar yang seharusnya mengintai peluang bermain di tahap lebih tinggi
berbanding memperjudikan nasibnya di Liga FAM.
“Saya tak percaya dia (Akhyar)
akan menerima tawaran Perlis untuk beraksi di Liga FAM yang kita tahu liga
berkenaan adalah saingan divisyen tiga Malaysia.
“Sepatutnya pemain seperti dia
harus kekal beraksi di Liga Super bersama pasukan besar seperti JDT (Johor
Darul Ta’zim), Selangor ataupun Pahang dan bukannya pasukan dari liga bawahan.
“Bukan saya nak memperkecilkan
pasukan bawahan, cuma kita bimbang perkembangannya kerana kualiti liga bawahan
tak sama dengan Liga Super yang lebih kompetitif.
“Bagi saya, Akhyar mesti ada
cita-cita besar untuk bermain di liga lebih baik. Kalau dia terima, jelas
sekali dia langsung tidak ada cita-cita dalam bola sepak,” katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Kelmarin, Persatuan Bolasepak
Perlis (PFA) memuatnaik posting di laman Facebook NorthernLions Perlis dengan
Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit hadir ke rumah Akhyar di Alor Star,
Kedah bagi mengadakan perbincangan dengan pemain muda itu.
Malah, dalam posting itu juga
menyaksikan Amizal menyerahkan jersi skuad Singa Utara yang turut disaksikan
ahli keluarga pemain berkenaan.
“Seperti saya katakan tadi, saya
tak percaya dia akan ke Perlis. Saya rasa PFA hanya memanipulasi gambar dan
kenyataan di Facebook untuk menarik perhatian media saja,” katanya.
Sebelum ini terdapat drama di
antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan JDT selepas pengurusan KFA
menyatakan kelab daripada selatan itu gagal membuat permohonan rasmi kepada KFA
bagi mendapatkan pemain itu.
Sebaliknya Akhyar yang membuat
permohonan untuk berpindah ke JDT sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
terpaksa campur tangan dan menetapkan Akhyar boleh menebus kontraknya bernilai
RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.
Tambahan RM75,000 bakal dibayar
oleh mana-mana pasukan yang ingin mendapatkannya kepada KFA.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Isnin, 24 Disember 2018 @ 12:43 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan