SUKAN»Bola
Isnin, 18
September 2017 | 6:49pm

PEMAIN Kedah,
Muhammad Akhyar Abdul Rashid (kiri) mengasak pemain Pahang, Mohd Faisal Mohd
Rosli pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Akhyar tak
hilang semangat
Oleh Aziman
Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR:
Dua kali kecundang di pentas final dalam tempoh tiga minggu adalah kekecewaan
yang sukar dilalui penyerang muda negara, Akhyar Abdul Rashid.
Bagaimanapun,
dia yang menjadi tonggak skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang muncul naib
juara di Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B-18 di Yangon, Myanmar
semalam, percaya apa yang dilalui itu akan menguatkan lagi semangatnya bagi
mengharungi misi seterusnya iaitu kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak
Asia (AFC) B-19 di Korea Selatan, bulan depan.
"Memang
kecewa sangat sebab dua kali kalah di final dengan Thailand tapi pada saya, ini
adalah sebahagian lumrah dalam bola sepak yang perlu saya hadapi. Banyak yang
saya belajar ketika beraksi di Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan kejohanan AFF
ini.
"Saya
percaya masih banyak lagi peluang untuk meraih kejayaan selepas ini, jadi saya
hanya perlu berusaha lebih kuat," kata pemain Kedah itu.
Harapan
Akhyar, 18, untuk menebus kegagalan skuad B-22 negara yang tewas 0-1 kepada
Thailand di final Sukan SEA bulan lalu musnah apabila Malaysia dikecewakan
sekali lagi pada final Kejohanan AFF B-18 di tangan skuad Gajah Perang itu 0-2.
Dia yang
meledak tiga gol sepanjang kempen kejohanan itu dijangka akan terus menjadi
sandaran jurulatih Bojan Hodak pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di
Korea Selatan, 31 Oktober hingga 8 November depan.
"Kalau
kita lihat, tidak ada banyak jurang antara kita dengan Thailand. Kita bermain
baik pada final, cuma kita leka dua, tiga minit untuk Thailand hukum kita. Jadi
kita kena terus pandang ke depan dan selepas ini untuk Kejohanan AFC, semua
pemain perlu lebih bersedia," kata Akhyar yang sebelum ini membantu skuad
B-22 negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-22 di China, Januari depan.
Pada pusingan
kelayakan AFC B-19, Malaysia bakal bersaing dengan tuan rumah Korea Selatan,
Indonesia, Timor Leste dan Brunei dalam Kumpulan F.
SUMBER-BERITA
HARIAN ONLINE Isnin, 18 September 2017 | 6:49pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan