MyMetroArena

Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) menegaskan isu membabitkan pampasan Akhyar Rashid tidak perlu
dibawa sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM,
Stuart Ramalingam menjelaskan ia boleh diselesaikan secara dalaman dengan lebih
baik menerusi pertemuan 'empat mata' antara badan induk itu dan Persatuan
Bolasepak Kedah (KFA).
"Kita terbuka dan sedia
berbincang dengan KFA mengenai isu ini. Mungkin wujud salah faham daripada
sudut pemahaman mengenai peruntukan dalam urusan perpindahan pemain itu dan
kita sedia berbincang dengan KFA.
"Tidak perlu untuk
memperbesarkan isu ini kerana selaku badan induk, kami bersedia untuk mencari
jalan terbaik bagi menangani apa jua masalah yang membabitkan ahli
gabungan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.
Terdahulu, KFA mengancam untuk
mengheret FAM ke CAS selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk
itu menolak rayuan berhubung jumlah pampasan pemain mudanya, Akhyar Rashid.
Setiausaha Kehormatnya, Mohd
Asmirul Anuar Aris menyifatkan keputusan FAM itu jelas tidak adil dan pihaknya
akan mengemukakan aduan kepada CAS untuk menuntut keadilan.
FAM dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan semalam menolak rayuan KFA untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi
daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Akhyar.
Malah, Jawatankuasa Rayuan badan
induk itu yang bersidang kelmarin dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar
Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa
Rayuan awal bulan ini, kekal.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 28 Disember 2018 @ 5:36 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan