MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Meskipun juara Liga
Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan mereka ‘memancing’ Akhyar Rashid
sebelum ini namun mereka akhirnya mengesahkan berminat untuk mendapatkan
khidmat bekas pemain Kedah itu.
Perkembangan itu diumumkan
Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers,
hari ini.
Dengan status pemain yang diberi
julukan ‘Neymar Kedah’ itu kini sudah bergelar ejen bebas, JDT dilihat tidak
berdepan masalah untuk mengikat pemain muda itu musim depan.
“JDT sudah memulakan rundingan
bersama pemain muda berbakat, Akhyar Rashid yang sudah diumumkan sebagai pemain
bebas dua minggu lalu.
“Kami ingin memperkuatkan pasukan
menjelang tahun bersejarah yang mana Harimau Selatan akan menjadi pasukan
pertama dari Malaysia bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL),” katanya.
Terdahulu, spekulasi perpindahan
Akhyar ke JDT hangat diperkatakan hingga mencetus ‘drama’ antara Persatuan
Bolasepak Kedah (KFA) dengan pasukan dari selatan itu.
Sebelum ini, KFA mengesahkan
pemain berusia 19 tahun itu sudah menghantar permohonan untuk berpindah ke JDT
namun pasukan itu didakwa cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang permohonan
rasmi.
Bagaimanapun, Pengarah Teknikal
JDT, Alistair Edwards menyifatkan ia sebagai tuduhan yang tidak boleh diterima
namun tidak menafikan mereka juga mahukan Akhyar sekiranya dia berhasrat untuk
berpindah.
Malah, JDT juga akur Akhyar masih
memiliki baki setahun kontrak bersama Kedah.
Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) kemudiannya mengumumkan Akhyar boleh menebus kontraknya bernilai
RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.
Selepas bergelar ejen bebas,
mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000
kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 19 Disember 2018 @ 2:08 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan