MyMetroArenaAziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Penyerang muda
Akhyar Rashid percaya dia boleh kembali ke tahap terbaik untuk membantu Harimau
Malaya dalam saingan Piala AFF yang akan disingkap tirainya minggu depan
meskipun kudratnya diperah habis-habisan sepanjang musim ini.
Selain beraksi bersama Kedah
dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M), pemain berusia 19 tahun itu turut beraksi
bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun pada Kejohanan AFC di China Januari lalu,
Sukan Asia di Jakarta (Ogos), Kejohanan AFF B-19 di Indonesia (Julai),
Kejohanan AFC B-19 di Indonesia (Oktober) serta beberapa perlawanan bersama
skuad senior tahun ini.
Selepas selesai tugasan bersama
skuad B-19, Akhyar kini kembali menyertai skuad Harimau Malaya dan mula
menjalani latihan Rabu lalu.
"Saya baru memulakan latihan
dengan skuad kebangsaan kerana sebelum ini saya diberi cuti selepas selesai
Kejohanan AFC di Indonesia. Saya harap dapat beri persembahan terbaik untuk
pasukan," katanya.
Ketika saingan Kejohanan AFC di
Indonesia, Akhyar berdepan dengan masalah kecergasan sehingga tidak berada
dalam kesebelasan utama dalam perlawanan awal.
Pemain kelahiran Alor Setar ini
mengakui mengalami sedikit kekejangan otot namun percaya masalah itu dapat
diatasi dengan rehat yang cukup.
"Kadang-kadang saya alami
kejang otot, namun apa yang penting saya kena cukup rehat dan kena buat lebih
latihan kecergasan bagi kempen Piala AFF nanti," kata Akhyar.
Akhyar yang menjaringkan gol
pertama dalam penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan ketika menentang
Mongolia pada 22 Mac lalu pada aksi persahabatan bakal berdepan ujian terakhir
menentang Maldives Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum
mengharungi kempen Piala AFF menentang Kemboja di laman lawan, Khamis depan.
Bagaimanapun dia perlu bersaing
hebat untuk berada dalam kesebelasan utama bersama pemain senior lain seperti
Syazwan Zainon, Norshahrul Idlan Talaha dan Syazwan Andik.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 1 November 2018 @ 5:51 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan