MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID 23 MAC
2018
Masih ada sinar buat Harimau
Malaya
Pemain negara meraikan jaringan
gol ketika bertemu Mongolia malam tadi. Keputusan akhir, Malaysia 2 - 2
Mongolia.
WALAUPUN gagal menamatkan kemarau
kemenangan selepas 11 perlawanan, Tan Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan
prestasi yang ditunjukkan anak buahnya selepas diikat seri 2-2 dengan Mongolia,
semalam.
Cheng Hoe berkata, beliau melihat
masih ada sinar harapan buat skuad bola sepak negara dengan aksi yang
ditunjukkan dalam perlawanan itu, namun cuma nasib sahaja yang memisahkan
pasukannya dengan kemenangan.
Katanya lagi, beliau optimis
skuad Harimau Malaya akan segera menemui rentak kemenangan dalam perlawanan
berikutnya.
“Pemain telah beraksi dengan baik
dan kita boleh nampak sudah wujud keserasian sebagai satu pasukan walaupun baru
beberapa hari menjalani latihan pusat.
"Beberapa percubaan yang
baik juga berjaya diperoleh pemain dalam perlawanan ini, tapi malangnya, palang
(gol) menjadi penghalang kepada kita untuk meraih kemenangan.
"Bercakap soal gol yang
dibolosi, pada saya ianya akibat kesilapan individu dan kurang konsentrasi.
Saya percaya kita masih boleh perbaiki prestasi kerana kita lihat pemain
mempunyai lebih keyakinan hari ini," katanya.
Pada aksi persahabatan di Stadium
Nasional Bukit Jalil malam tadi, Malaysia membuka jaringan pada minit ke-31
setelah kapten Mongolia, Turbaat Daginaa menanduk masuk bola ke gawang sendiri,
sebelum Enkhbileg Purevdorj menyamakan kedudukan 11 minit kemudian untuk
Mongolia, yang terdiri daripada pemain separuh profesional (semi-pro).
Muhammad Akhyar Rashid kemudian
meletakkan skuad Harimau Malaya kembali di hadapan menerusi gerakan menarik
pada minit ke-65, namun pasukan lawan berjaya mengikat kedudukan melalui
jaringan Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv, enam minit kemudian.
Kali terakhir skuad Harimau
Malaya mencatat kemenangan ialah ketika menewaskan Kemboja 3-2 sewaktu kempen
Piala AFF, November 2016.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23 MAC
2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan