Mohamad
Firdaus Abdullah
10 Mei 2019
3:00 AM
AKHYAR berjaya
menarik minat pencari bakat dari kelab BATE Borisov selepas menyaksikan gaya
permainannya.
SAHAM pemain
yang mempunyai tag pelepasan bernilai RM12 juta bersama Johor Darul Takzim
(JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid terus melonjak apabila kelab dari Belarus,
BATE Borisov berminat untuk menguji penyerang berkenaan dalam masa terdekat.
Pencari bakat
kelab tersebut tertarik dengan aksi Akhyar selepas menonton rakaman video yang
melibatkan beberapa perlawanan di peringkat antarabangsa dan Liga Malaysia.
Menurut
kenyataan daripada laman Facebook Football Agent–Malaysia semalam, pihaknya
akan menghubungi wakil daripada JDT dan Akhyar sendiri untuk berbincang
mengenai tawaran daripada kelab tersebut.
Abang kepada
Akhyar, Mohd. Rafdi Abdul Rashid mengesahkan berita tersebut dan berharap
Akhyar mampu melebarkan sayap di luar negara.
“Selepas
mendapat berita berkenaan, saya dan keluarga sememangnya menyokong untuk Akhyar
pergi mengembangkan bakat di luar negara kerana itu sememangnya harapan kami.
“Saya melihat
ia adalah peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan Akhyar kerana perkara
sebegini kebiasaannya akan datang sekali sahaja seumur hidup.
“Pada usianya
yang baru 20 tahun, saya merasakan ia adalah waktu terbaik buat Akhyar ke sana
(BATE Borisov) sebelum menjadi pemain yang lebih baik seperti kebiasaan pemain
profesional lain apabila mencapai usia 25 ke 26 tahun,” katanya ketika
dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa
sama, Rafdi memberitahu, beliau menyerahkan segala urusan berkenaan kepada JDT
terhadap masa depan Akhyar.
“Segalanya
saya serahkan kepada JDT dan saya percaya mereka akan membuat keputusan yang
terbaik untuk karier Akhyar,” jelasnya.
Pada musim
2018, BATE Borisov muncul juara liga divisyen utama Belarus untuk kali ke-13
berturut-turut dan pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara, sementara
musim ini mereka berada dalam Kumpulan L dalam Liga Europa bersama Chelsea,
PAOK FC dan MOL Vidi.
SUMBER-KOSMO
ONLINE 10 Mei 2019 3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan