MyMetroArena

Rizar Mohd
Noor
sukanteam@nstp.com.my
KELIBAT Akhyar
Rashid yang masuk pada pertengahan babak kedua mengubah skrip perlawanan Johor
Darul Ta'zim (JDT) menentang Pahang selepas pemain itu menjadi watak penting
kemenangan buat juara Liga Super lima musim berturut-turut pada aksi di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Akhyar yang
dibawa masuk bagi menggantikan Leandro Velazquez pada pertengahan babak kedua
bagaikan menyelamatkan maruah skuad Harimau Selatan tatkala aksi tampak
berkesudahan dengan keputusan seri 0-0 apabila kedua-dua pasukan seolah-olah
hilang kreativiti untuk mencipta jaringan.
Bermula dengan
larian pantas di posisi sayap kanan pada minit ke-69, dia yang menerima umpanan
bola daripada kapten Hariss Harun bertindak menggelecek Mohd Faisal Mohd Rosli
sebelum melorongkan semula kepada Hariss yang kemudian merembat bola leret
menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Akhyar yang
menjadi pencetus gol pertama melengkapkan malam bergaya JDT apabila muncul
penjaring gol pada perlawanan itu selepas kegagalan Helmi Eliza mengeluarkan
bola dari kawasan bahaya menyaksikan pemain muda JDT itu bingkas merembat bola
mengelirukan untuk memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan pada minit
akhir perlawanan.
"Tentunya
saya gembira kerana membantu JDT menang dalam perlawanan yang saya anggap
begitu mencabar tatkala menentang Pahang yang dibarisi pemain berkualiti namun
kami ketepikan semua itu dan hasilnya tiga mata milik kami.
"Gol yang
digerakkan oleh saya bermula dengan bola lontaran Farizal (Marlias) kepada
Hariss dan saya mula bergerak di posisi sayap kanan dan apabila menerima bola
umpanan Hariss dan selepas melepasi pertahanan Pahang saya hanya sekilas
pandang dan melihat baju merah biru dan terus mengumpan bola.
"Gol yang
kedua yang saya sendiri jaringkan memang tidak dijangka apabila bola melantun
dan tanpa berlengah saya bertindak pantas untuk menyepak bola.
“Malah bola
sepakan itu begitu `lembut' dan tidak jangka boleh masuk. Mungkin rezeki saya
pada malam ini (malam tadi)," katanya.
Mengulas
mengenai status pemain simpanan dan jarang mendapat minit perlawanan, Akhyar
menganggap itu bukan alasan sebaliknya peluang beraksi digunakan sepenuhnya
untuk membantu JDT dan langsung tidak memikirkan untuk bersikap individu.
Katanya, tidak
kira sama ada berada di bangku simpanan atau turun selaku kesebelasan utama,
dia harus bersiap sedia dan perlu fokus untuk memberi persembahan terbaik tanpa
menganggap dirinya sekadar pemain kedua.
"Saya
sendiri tidak sabar untuk diturunkan dan berharap dapat beraksi menentang
Pahang dan apabila diarah masuk pada babak kedua maka saya beri yang terbaik
dan bersyukur kerana membantu JDT meraih kemenangan," kata Akhyar.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 1:10 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan