SUKAN»Bola
Khamis, 13 Jun 2019 | 12:25pm

AKHYAR Rashid
Akhyar perlu buang mentaliti
'supersub'
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@mediaprima.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad
kebangsaan, Akhyar Rashid tidak perlu hanya menganggap dirinya sebagai pemain
'supersub' bagi Harimau Malaya.
Jurulatih Harimau Malaya, Tan
Cheng Hoe percaya bahawa bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bakal menjadi
antara pemain penting dalam skuad akan datang berdasarkan potensi yang
dimilikinya.
Jelas Cheng Hoe, Akhyar yang baru
berusia 20 tahun perlu menggandakan usaha untuk meletakkan prestasinya pada
tahap terbaik terutama dari aspek kecergasan.
TAN Cheng Hoe
"Akhyar bermain dengan
sangat baik, dia tidak boleh fikir bahawa dia hanya pemain supersub. Bagi masa
depan dia fikir yang dia juga boleh berada dalam kesebelasan utama.
"Sudah pasti dia perlu
belajar dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk mendapatkan keyakinan.
Saya yakin dia bekerja keras untuk sampai ke tahap lebih baik.
"Saya selalu menasihatkan
dia dan juga pemain yang lain untuk meningkatkan latihan terutama dalam
melakukan latihan tambahan bersama kelab," katanya pada sidang media
selepas perlawanan berdepan Timor Leste.
Pada aksi kedua playoff kelayakan
Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu menyaksikan Akhyar disenaraikan dalam
kesebelasan utama selepas kerap masuk sebagai pemain gantian sebelum ini.
Bekas pemain Kedah itu meledak
dua gol dalam dua aksi timbal balik berdepan Timor Leste dengan Harimau Malaya
mara ke pusingan kedua kelayakan menerusi agregat 12-2.
Walaupun mencatat kemenangan
besar, namun Cheng Hoe menegaskan ia bukan jaminan untuk semua 23 pemain dalam
skuad semasa Harimau Malaya akan kekal untuk aksi pusingan kedua kelayakan yang
akan berlangsung pada September ini.
Sebaliknya, beliau menjelaskan
barisan kejurulatihan Harimau Malaya tetap akan meneruskan pemantauan terhadap
prestasi semua pemain dalam Liga Malaysia (Liga M).
"Kami tahu September nanti
kami akan jumpa pasukan jauh lebih baik seperti Iran, Jepun, Korea Selatan dan
Qatar. Jadi pemain perlu bersedia hadapi segala tekanan," katanya.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan