PEMAIN JDT, Akhyar Rashid (kiri)
diasak pemain tengah Shandong Luneng, Jin Jingdao dalam aksi Liga Juara-Juara
Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini. - UTUSAN/NUR AISYAH
MAZALAN
Mohd. Khairul Mohd. Ali
24 April 2019 10:44 PM
JOHOR BAHRU 24 April - Tinggal
‘nyawa-nyawa ikan’.
Begitulah ibarat kedudukan Johor
Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara (ACL) selepas tewas 0-1
kepada Shandong Luneng FC 0-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebentar tadi.
Secara matematik, JDT masih
berpeluang mara ke peringkat kalah mati biarpun amat tipis selepas juara
bertahan, Kashima Antlers kalah mengejut 0-1 kepada Gyeongnam FC dalam aksi di
tempat sendiri, petang tadi
Itu bermakna, wakil China, Luneng
kini merampas teraju Kumpulan E dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua
seri manakala Kashima jatuh ke tangga kedua menerusi tujuh mata manakala
Gyeongnam FC di tempat ketiga (lima mata) dan JDT tercorot dengan hanya satu
mata.
JDT kini wajib menang dalam baki
dua perlawanan menentang Kashima di Larkin pada 8 Mei dan Gyeongnam FC di
Changwon pada 22 Mei, sambil berharap Kashima pula tewas dalam dua baki saingan
berbeza.
Malah, mereka juga akan
tersingkir sekiranya Gyeongnam memenangi kedua-dua baki perlawanan.
Dalam aksi di Larkin hari ini,
Luneng melancarkan serangan pantas dengan mengasak kubu lawan sebelum berjaya
mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-21.
Percubaan Graziano Pelle di hadapan
pintu gol tidak dihalang mana-mana pemain tuan rumah membolehkan pasukan
pelawat merobek gawang JDT.
Peluang terbaik JDT untuk
menyamakan kedudukan muncul pada minit ke-50 namun pemain import, Diogo Luis
Santo gagal menyempurnakan tandukan dihadapan pintu gol.
Shandong yang terus mengasak
turut mendapat beberapa peluang khususnya pada minit-minit akhir permainan
namun tidak berjaya menterjemahkan menjadi gol. – sumber-UTUSAN ONLINE 24 April
2019 10:44 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan