MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

Tindakan penyokong Lang Merah
yang mengejek `boo' terhadap pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid
ketika dimasukkan pada penghujung babak kedua bagi menggantikan Safawi Rasid
dianggap tidak profesional.
Presiden Kelab Penyokong
Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT), Azman Jalil berkata, sepatutnya
penyokong menyambut baik bekas pemain Kedah itu yang kembali beraksi di Stadium
Darul Aman pada aksi menentang Kedah dalam saingan Liga Super, malam tadi.
Katanya, walaupun Akhyar diejek
dan diherdik namun dia tampak tenang dan mampu beraksi dengan baik di posisi
sayap kanan malah hampir mengejutkan bekas pasukannya dengan melakukan hantaran
lintang yang mengundang cemas benteng pertahanan Kedah.
"Kenapa perlu diejek. Bola
sepak kita sudah lama di era profesional tetapi mentaliti penyokong masih tidak
berubah dan terlalu beremosi. Biarlah Akhyar memilih karier bola sepak untuk
menyertai JDT dan kenapa penyokong Kedah harus sentap.
"Anda sendiri lihat
bagaimana kami melayan kehadiran Safiq (Rahim) yang kini bersama Melaka United,
kami menghormati keputusan pemain itu berhijrah malah kami memberi tepukan
gemuruh kepadanya sebagai tanda hormat kerana memberi sumbangan ketika bersama
JDT.
"Tidak salah untuk kita menghormati
keputusan pemain untuk berhijrah. Jadi saya harap penyokong Kedah bersikap
matang dan tidak terlalu emosi.
Apa jua masalah antara Akhyar dan
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) biar mereka selesaikan. Kita sebagai penyokong
terus beri sokongan tanpa perlu mengherdik mana-mana pihak," katanya
ketika dihubungi.
Ditanya mengenai gesaan Presiden
Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah yang mahu
pengendali JDT, Luciano Figueroa menurunkan Akhyar pada aksi menentang Kedah,
malam tadi, Azman menyifatkan ia tidak menggambarkan semangat kesukanan.
”Apa kelayakan Nor Asmadi, adakah
beliau memiliki sijil kejurulatihan Kelas A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
untuk mendesak Figueroa menurunkan Akhyar dalam perlawanan itu atau sekadar
mahu melakukan provokasi supaya penyokong membenci pemain Bawah 23 tahun negara
itu.
"Saya harap sesiapa sahaja
tidak menjaga `tepi kain orang' lebih baik jaga `tepi kain sendiri'. Kami dalam
kelab penyokong sentiasa menghormati pasukan lawan jadi apa salahnya penyokong
lawan menghormati pasukan JDT bagi memastikan kerancakan Liga Malaysia (Liga
M)," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 30 Mac 2019 @ 1:32 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan