Sabtu, 27 April 2019

Akhyar perlu buat pilihan tepat

 
AKHYAR (kiri) dinasihatkan usah ke Liga Indonesia. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

PENYERANG skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Akhyar Rashid perlu menyiasat profil kelab luar negara yang berminat mendapatkan khidmatnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhijrah.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menjelaskan, ia penting bagi memastikan tujuan pemain muda Kedah itu berhijrah ke luar negara untuk mengembangkan lagi bakatnya, tercapai.

Katanya, Akhyar atau pemain lain yang berhasrat untuk beraksi di liga luar negara perlu memilih kelab yang memiliki standard lebih tinggi berbanding pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Kalau nak diikutkan pergi ke (liga) Indonesia tak digalakkan kerana standard mereka lebih kurang liga M. Tapi kalau Jepun dan Thailand, saya fikir bagus untuk pemain muda seperti Akhyar mengembangkan bakatnya.

“Tapi dia kena pastikan adakah kelab yang ingin disertai itu berprofil tinggi dalam liga mereka dan selain mempunyai sejarah melahirkan ramai pemain kebangsaan negara itu.

“Kita juga perlu lihat struktur kelab itu, apa kedudukan mereka dalam liga dan seterusnya kemudahan yang dimiliki. Kalau kemudahan lebih teruk dari Kedah buat apa dia pergi,” katanya hari ini.

Semalam, abang Akhyar, Rafdi yang juga bekas pemain Kedah mengesahkan terdapat wakil atau ejen yang berminat berunding dengan adiknya itu mengenai tawaran beraksi bersama kelab Thailand, Jepun dan Indonesia.

Ia susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain berusia 18 tahun itu ketika bersama skuad negara sepanjang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang menyaksikan anak didik Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah apabila mara hingga ke suku akhir.

Selain itu, Sathianathan turut berharap pemain tempatan yang ditawarkan kelab luar perlu membuat penilaian terlebih dahulu dan tidak hanya menjadi pelengkap kepada pasukan itu.

“Pemain perlu lihat kelab mana yang mahukan mereka. Jangan kelab divisyen dua Thailand, itu tidak bagus.

“Mereka juga kena pastikan ada peluang untuk bermain, contohnya jika pergi ke Thailand, kalau kelab itu hanya nak guna dia bagi penuhi untuk kuota import ASEAN dan diletakkan di bangku simpanan, buat apa.

“Tapi kalau di Jepun, divisyen satu dan dua mereka sudah bagus. Jika kelab itu bagus, pemain tidak harus lepaskan peluang ini dan kita semua pasti gembira jika ada pemain tempatan beraksi di liga lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January

Jumaat, 26 April 2019

Akhyar tak rela tumpah air mata


MyMetroArena
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
 
PEMAIN muda Kedah, Akhyar Rashid berwaspada dengan ancaman Kelantan yang boleh menafikan hajat mereka layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Akhyar meledak satu gol ketika membantu Lang Merah menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dua minggu lalu sekali gus menyemarakkan semangatnya bagi aksi terakhir Kumpulan C di gelanggang lawan.

“Fokus saya hanya satu, mahukan kemenangan bagi membolehkan pasukan layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini bagi memenuhi harapan penyokong Kedah.

“Pengalaman menjaringkan gol semasa mewakili skuad negara pada Sukan Asia baru-baru ini juga melonjak motivasi saya untuk lebih gigih dalam usaha membantu Kedah dalam saingan kali ini.”

Akhyar mengakui Kedah yang kini menghuni tangga kedua kumpulan dengan lapan mata kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke suku akhir selepas dua kemenangan ke atas MIFA dan juara bertahan JDT.

Kedah memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk layak tidak kira apa jua keputusan antara MIFA dengan JDT di Stadium Shah Alam, malam esok. Bagaimanapun mereka mungkin tersingkir jika kalah 0-1 kepada Kelantan.

Akhyar mengakui Kelantan kendalian Yusri Che Lah yang diwakili ramai pemain muda mempunyai corak permainan yang mampu menjerat pasukan lawan.

“Saya mengenali ramai pemain muda dalam pasukan Kelantan yang mempunyai kualiti permainan baik dan mereka berjaya membuktikan semangat juang tinggi dalam setiap perlawanan.”

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 12:01 PM

Akhyar lalu saja ke?


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
ADAKAH sensasi Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid akan berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT)?

Itu persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong skuad Helang Merah selepas Akhyar atau terkenal dengan jolokan 'Neymar Kedah' itu dilihat merakam gambar di depan laluan masuk ke padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sekali gus menjadi tular di laman sosial.

Biarpun ada pihak yang menyatakan ia sekadar lawatan biasa bintang muda itu, ia masih belum mampu diterima, apatah lagi, lawatan dan kunjungan peribadi beberapa pemain ke stadium Harimau Selatan itu sering kali berakhir dengan perpindahan ke pasukan itu.

Bagaimanapun, jika Akhyar memilih untuk menukar angin bersama JDT musim depan, ia dianggap keputusan tepat memandangkan juara Liga Super lima musim berturut-turut itu akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan yang mampu memberi pendedahan kepadanya.

Akhyar yang juga pemain skuad bawah 19 (B-19) dan B-23 tahun negara sememangnya menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila tampil dengan aksi yang menarik dalam setiap perlawanan dan turut merakam gol penting.

Malah, keserasiannya bersama dua lagi rakan sepasukan dalam skuad B-23, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad ketika Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu, dipercayai mampu memberi nafas baharu kepada jentera serangan JDT yang dilihat terlalu bergantung kepada tonggak import.

Malah, menerusi kiriman pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) pada 16 September lalu, beliau mengakui akan 'memborong' lebih ramai pemain tempatan sebagai persediaan menghadapi saingan musim depan yang dijangka lebih mencabar.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 3:22 PM

JDT nafi pikat Akhyar


MyMetroArena
BERNAMA
Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards menyangkal tuduhan kononnya kelab itu berminat menandatangani kontrak dengan pemain prolifik Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid tanpa persetujuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Edwards bagaimanapun mendedahkan juara Liga Super itu tidak menawarkan apa-apa kontrak kepada pemain berbakat berusia 19 tahun itu kerana mereka sedar dia masih dalam kontrak dengan Kedah sehingga akhir tahun depan.

“Kami kesal dengan tuduhan itu hanya kerana seorang pemain mahu menamatkan kontraknya. Sekiranya Akhyar tidak terikat, dia bebas berunding dengan mana-mana kelab yang dia mahu termasuk JDT,” katanya dipetik sebagai berkata dalam catatan terkini menerusi akaun rasmi Facebook JDT iaitu Johor Southern Tigers.

Beliau menjawab beberapa laporan Muhammad Akhyar ingin menamatkan kontrak dengan kelabnya sekarang memandangkan beberapa kelab kini berminat mendapatkan khidmat berikutan prestasi luar biasa dengan skuad senior dan skuad muda kebangsaan termasuk skuad bawah 19 tahun.

Muhammad Akhyar membawa kesnya itu ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beberapa hari lalu selepas dia dan KFA gagal mencapai persetujuan.

FAM dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 6:16 PM

'Tak patut ejek Akhyar'


MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
 
Tindakan penyokong Lang Merah yang mengejek `boo' terhadap pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid ketika dimasukkan pada penghujung babak kedua bagi menggantikan Safawi Rasid dianggap tidak profesional.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT), Azman Jalil berkata, sepatutnya penyokong menyambut baik bekas pemain Kedah itu yang kembali beraksi di Stadium Darul Aman pada aksi menentang Kedah dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Katanya, walaupun Akhyar diejek dan diherdik namun dia tampak tenang dan mampu beraksi dengan baik di posisi sayap kanan malah hampir mengejutkan bekas pasukannya dengan melakukan hantaran lintang yang mengundang cemas benteng pertahanan Kedah.

"Kenapa perlu diejek. Bola sepak kita sudah lama di era profesional tetapi mentaliti penyokong masih tidak berubah dan terlalu beremosi. Biarlah Akhyar memilih karier bola sepak untuk menyertai JDT dan kenapa penyokong Kedah harus sentap.

"Anda sendiri lihat bagaimana kami melayan kehadiran Safiq (Rahim) yang kini bersama Melaka United, kami menghormati keputusan pemain itu berhijrah malah kami memberi tepukan gemuruh kepadanya sebagai tanda hormat kerana memberi sumbangan ketika bersama JDT.

"Tidak salah untuk kita menghormati keputusan pemain untuk berhijrah. Jadi saya harap penyokong Kedah bersikap matang dan tidak terlalu emosi.

Apa jua masalah antara Akhyar dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) biar mereka selesaikan. Kita sebagai penyokong terus beri sokongan tanpa perlu mengherdik mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai gesaan Presiden Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah yang mahu pengendali JDT, Luciano Figueroa menurunkan Akhyar pada aksi menentang Kedah, malam tadi, Azman menyifatkan ia tidak menggambarkan semangat kesukanan.

”Apa kelayakan Nor Asmadi, adakah beliau memiliki sijil kejurulatihan Kelas A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mendesak Figueroa menurunkan Akhyar dalam perlawanan itu atau sekadar mahu melakukan provokasi supaya penyokong membenci pemain Bawah 23 tahun negara itu.

"Saya harap sesiapa sahaja tidak menjaga `tepi kain orang' lebih baik jaga `tepi kain sendiri'. Kami dalam kelab penyokong sentiasa menghormati pasukan lawan jadi apa salahnya penyokong lawan menghormati pasukan JDT bagi memastikan kerancakan Liga Malaysia (Liga M)," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 1:32 PM

JDT lupakan keletihan

MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

BIARPUN letih selepas mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Kashima Antlers di Jepun, Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap fokus untuk menguasai takhta liga selepas membenam PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.

Kemenangan skuad Harimau Selatan itu melegakan pengurus pasukan Luciano Figueroa yang berpendapat komitmen tinggi setiap pemain membolehkan mereka menang, walaupun selepas menempuh perjalanan jauh beberapa hari lalu.

"Itulah karektor yang kami mahu daripada setiap pemain kerana mereka jelas mengetepikan faktor keletihan sebaliknya beraksi dengan penuh disiplin untuk memastikan kemenangan di laman sendiri.

"Saya akui pemain berdepan kesukaran apabila beraksi pada saingan ACL dan kemudian pulang ke Johor Bahru untuk menentang PKNP FC.

Dalam tempoh yang singkat pemain memberi kerjasama 100 peratus untuk beraksi pada saingan liga.

"Tiga mata yang diraih malam ini (malam tadi) amat penting kerana kami kembali di tangga teratas liga dan saya berterima kasih kepada pemain yang merealisasikan kemenangan pada perlawanan itu," katanya.

Mengulas penampilan pertama Akhyar Rashid pada perlawanan itu, Figueroa yang sinomin dengan panggilan Lucho dikalangan pemain skuad Harimau Selatan tampak berpuas hati dengan persembahan pemain muda yang kerap memberi tekanan terhadap benteng skuad kendalian Abu Bakar Fadzim.
 
Pemain JDT, Muhamad Akhyar Abdul Rashid (kiri) diasak pemain PKNP FC, Filemon Anyie Standly dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Katanya, bukan sahaja Akhyar yang menyerlah malah kelibat Nazmi Faiz Mansor bergandingan bersama Leandro Velazquez sering menjana gerakan berbahaya dengan umpanan bola yang memberi ruang kepada Gonzalo Cabreran dan Diogo Luis Santo mengasak benteng PKNP FC.

"Akhyar harus lebih agresif untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT, ini penampilan pertama dia bersama kesebelasan utama dan Nazmi pula memainkan peranan penting di posisi tengah.

"Apa yang penting setiap pemain bergerak dengan umpanan bola tepat malah kurang melakukan kesilapan dan saya berharap momentum itu berterusan kerana selepas ini kami akan menyambung aksi ACL menentang kelab dari Korea Selatan," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:55 PM

Rabu, 24 April 2019

Tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’


 PEMAIN JDT, Akhyar Rashid (kiri) diasak  pemain tengah Shandong
PEMAIN JDT, Akhyar Rashid (kiri) diasak pemain tengah Shandong Luneng, Jin Jingdao dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
Mohd. Khairul Mohd. Ali

24 April 2019 10:44 PM

JOHOR BAHRU 24 April - Tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’.

Begitulah ibarat kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara (ACL) selepas tewas 0-1 kepada Shandong Luneng FC 0-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebentar tadi.


Secara matematik, JDT masih berpeluang mara ke peringkat kalah mati biarpun amat tipis selepas juara bertahan, Kashima Antlers kalah mengejut 0-1 kepada Gyeongnam FC dalam aksi di tempat sendiri, petang tadi

Itu bermakna, wakil China, Luneng kini merampas teraju Kumpulan E dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri manakala Kashima jatuh ke tangga kedua menerusi tujuh mata manakala Gyeongnam FC di tempat ketiga (lima mata) dan JDT tercorot dengan hanya satu mata.

JDT kini wajib menang dalam baki dua perlawanan menentang Kashima di Larkin pada 8 Mei dan Gyeongnam FC di Changwon pada 22 Mei, sambil berharap Kashima pula tewas dalam dua baki saingan berbeza.

Malah, mereka juga akan tersingkir sekiranya Gyeongnam memenangi kedua-dua baki perlawanan.

Dalam aksi di Larkin hari ini, Luneng melancarkan serangan pantas dengan mengasak kubu lawan sebelum berjaya mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-21.

Percubaan Graziano Pelle di hadapan pintu gol tidak dihalang mana-mana pemain tuan rumah membolehkan pasukan pelawat merobek gawang JDT.

Peluang terbaik JDT untuk menyamakan kedudukan muncul pada minit ke-50 namun pemain import, Diogo Luis Santo gagal menyempurnakan tandukan dihadapan pintu gol.

Shandong yang terus mengasak turut mendapat beberapa peluang khususnya pada minit-minit akhir permainan namun tidak berjaya menterjemahkan menjadi gol. – sumber-UTUSAN ONLINE 24 April 2019 10:44 PM

Khamis, 11 April 2019

Akhyar cemerlang aksi sulung JDT


Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:49pm
 
AKHYAR Rashid
Akhyar cemerlang aksi sulung JDT
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Akhyar Rashid yang masih dipalit kontroversi, membuat penampilan pertama bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila diturunkan pada babak kedua aksi persahabatan menentang kelab dari Liga Singapura (Liga S), Home United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Malah Akhyar turut membantu skuad Harimau Selatan mencipta kemenangan besar 5-0 menewaskan naib juara Zon ASEAN, Piala AFC musim lalu apabila membuat dua umpanan menarik kepada Hazwan Bakri pada minit ke-51 dan membantu Safawi Rasid menjaringkan gol pada minit ke-81 buat skuad bimbingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora.

Ternyata kemelut dicipta Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang ingin membawa kes berhubung kontrak Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) langsung tidak dipedulikan pemain muda itu,sebaliknya dia beraksi konsisten dalam perlawanan dan berjaya memikat lebih 18,000 penyokong Harimau Selatan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, pemain kebangsaan Syazwan Andik yang sudah menjalani latihan bersama juara Liga Super lima musim berturut-turut sejak tiga hari lalu.

Pada aksi persahabatan kompetitif, gandingan Figueroa dan Mora yang terus diberi tanggungjawab oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membimbing pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara AFC menurunkan kelibat tiga pemain import baharu.

Dengan formasi 4-3-3 kelibat pemain import termahal Liga M, Diogo Santos yang dikhabarkan berpindah dari Buriram FC ke JDT dengan nilai perpindahan RM12 juta memperagakan aksi konsisten apabila berjaya membentuk persefahaman mantap bersama Gonzalo Cabrera dan pemain import baharu, Aaron Niguez.

Agak menarik apabila Nazmi Faiz Mansor yang diturunkan pada perlawanan itu menunjukkan kematangan tatkala beraksi di posisi tengah dengan kawalan bola menarik selain umpanan bola kepada rakan malah dia langsung tidak kekok mengemudi posisi tengah sambil dibantu Natxo Insa dan Hariss Harun.

Jika dilihat, Figueroa dan Mora sudah ada bayangan kesebelasan utama yang bakal membawa cabaran skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga M tatkala Mauricio dos Santos Nascimento yang menggantikan Marcos Antonio di posisi pertahanan beraksi dengan baik bersama Adam Nor Azlin sambil mengekalkan Corbin Ong dan Azril Nasrulhaq Badrul Hisham di posisi bek kiri dan kanan.

Sebelum membuka kempen Liga M menentang Perak pada perlawanan Piala Sumbangsih 2 Februari ini, JDT akan mengharungi tiga aksi persahabatan di Thailand menentang kelab Liga Thai, Ratchaburi Mitrphol FC, Bangkok United dan PTT Rayong bermula 17 Januari hingga 23 Januari ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:49pm