MyMetroUtama
Manan Samad dan Firdaus Hashim
& Syazwan Msar
sukan@nstp.con.my

DUA bintang muda Johor Darul
Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid disebut-sebut sebagai antara lima
pemain yang berpeluang melebarkan sayap ke saingan Liga Jepun (Liga J) selepas
memenuhi kriteria untuk beraksi di negara Matahari Terbit itu.
Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, aksi menakjubkan dua pemain
muda itu mendapat perhatian serius beberapa kelab di liga utama Jepun.
Katanya, menerusi perbincangan
awal bersama pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini, beliau
turut berkenan melepaskan mana-mana pemain Harimau Selatan sekiranya menerima
tawaran kelab luar negara kerana ia mampu meningkatkan mutu permainan dan
kualiti individu pada masa akan datang.
“FAM dan JDT memang ada
berbincang, kalau ada tawaran bagus daripada kelab luar mereka pun nak hantar.
Namun, untuk merealisasikan perkara itu, ia perlu mendapat persetujuan daripada
majikan semasa kerana mereka sudah labur duit yang banyak.
“Iya... Akhyar dan Safawi antara
pemain disasarkan kelab luar dan kalau boleh, saya mahu hantar ke Jepun atau
Korea Selatan. Ini kerana kedua-dua presiden bola sepak di negara itu baik
dengan saya, malah kita pun ada MoU (memorandum persefahaman) dengan mereka,”
katanya ketika ditemui pada sesi temubual khas di Wisma FAM, Kelana Jaya,
kelmarin.
Jelas Hamidin lagi, impian untuk
melihat lebih ramai pemain tempatan menembusi pasaran luar negara bukan lagi
‘omong kosong’ kerana Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) sendiri ada meminta FAM
untuk mencadangkan lima pemain terbaik dalam lingkungan usia 18-22 tahun bagi
ditempatkan secara tetap di kelab terpilih di negara berkenaan.
Ia sekali gus bakal membuka
dimensi baharu buat anak Malaysia untuk mencipta nama di Jepun yang sudah
melayakkan diri sebanyak enam kali ke Piala Dunia (1998, 2002, 2006, 2010, 2014,
2018) selain empat kali menjulang Piala Asia (1992, 2000, 2004, 2011).
“Sebenarnya Liga Jepun sudah
minta kepada kita memilih lima pemain berusia 18-22 tahun untuk berguru dan
beraksi di sana. Pada dasarnya, pegawai JFA ada minta kita cadangkan sendiri pemain
terbaik untuk dihantar ke sana.
“Saya sudah mengarahkan Peter De
Roo (Pengarah Teknikal FAM) dan Datuk Ong Kim Swee (Jurulatih skuad B-23) untuk
memantau dan memilih pemain muda berbakat. Ogos ini saya akan ke Jepun untuk
mengadakan perbincangan lanjut mengenainya dan selepas itu baru saya akan
umumkan,” katanya.
Pada 5 April lalu, FAM dan JFA
menandatangani MoU bagi mewujudkan rangka kerja dan mengukuhkan kerjasama
teknikal serta belia membabitkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan
kejurulatihan dan pentadbiran kedua-dua pihak.
Majlis menandatangani Mou itu
turut disaksikan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni
Infantino serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.
Ketika ini 18 kelab sedang
berentap di J1 dan antara kelab tersohor seperti Kashima Antlers FC yang juga
pemenang Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu serta Gamba Osaka, Kawasaki
Frontale, Cerezo Osaka, Jubilo Iwata, Urawa Red Diamonds dan Consadole Sapporo.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:15 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan