Khamis, 3 Januari 2019 | 5:31pm

AKHYAR Rashid. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Kes Akhyar bukan isu baharu
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Isu pertikaian dua pasukan berebut pemain seperti yang
berlaku ke atas bintang muda, Akhyar Rashid sebenarnya bukan perkara baharu
dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
Sejak 1993, isu itu sudah timbul ketika penyerang sensasi negara pada era
itu Azman Adnan mahu meninggalkan Kuala Lumpur dan menyertai Selangor dengan
kontraknya masih berbaki setahun.
Pada 2013, Norshahrul Idlan Talaha juga dipalit kontroversi sama selepas
dia ingin menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Kelantan hingga teraksa
membabitkan campur tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Isu itu berjaya diselesaikan selepas Norshahrul atau Mat Yo diarahkan
membayar pampasan tertentu untuk menebus kontrak bersama Kelantan yang berbaki
kira-kira setahun.
Tiga tahun kemudian, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pula berhasrat menyertai
JDT ketika dia masih mempunyai kontrak dengan Selangor.
Bagaimanapun isu itu diselesaikan secara dalaman menerusi perbincangan
antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor
(PBNJ).
Pada hujung tahun sama, giliran seorang lagi pemain Selangor, Ahmad Hazwan
Bakri pula dipalit isu perpindahan ke JDT dengan kontraknya masih berbaki
setahun dengan Red Giants.
Bagaimanapun, kes itu diselesaikan menerusi cara tebus kontrak dengan
nilainya didakwa mencecah RM600,000.
Kini timbul pula isu Akhyar dengan pelbagai dakwaan dibuat termasuk Persatuan
Bolasepak Kedah (KFA) menuduh JDT menggunakan pintu belakang untuk memancing
pemain muda Harimau Malaya itu.
Namun, apa yang membezakan kes Akhyar dengan kes lain sebelum ini apabila
KFA cuba memanjangkan isu itu hingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)
selepas tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diputuskan FAM.
Masalahnya, kenapa isu sama masih berulang walaupun kes Azman sudah berlaku
26 tahun lalu dan adakah wujud kelemahan dalam sistem perpindahan pemain dalam
Liga-M?
Sepatutnya setiap pasukan sudah belajar daripada kes terdahulu seperti
menetapkan satu klausa dalam kontrak pemain mereka yang merangkumi nilai
sebenar yang perlu dibayar pasukan lain jika berminat dengan pemain itu.
INFO
Senarai perpindahan kontroversi:
1993 Azman Adnan - Kuala Lumpur ke Selangor
2013 Norshahrul Idlan Talaha - Kelantan ke JDT
2015 Ferris Danial Mat Nasir - Kelantan ke FELDA United
2016 Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham - Selangor ke JDT
2016 Ahmad Hazwan Bakri - Selangor ke JDT
2018 Rodney Kelvin - Sarawak ke PKNS FC
2019 Akhyar Rashid - Kedah ke JDT
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 3 Januari 2019 | 5:31pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan