Jumaat, 19 Oktober 2018

Tenaga saya masih banyak – Akhyar


18 Oktober 2018 3:00 AM
MESKIPUN tidak mendapat rehat yang mencukupi dan perlu kembali ber­aksi bersama skuad B-19 bagi mengharungi kempen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19, namun ia tetap tidak menjadi masalah buat penyerang sensasi negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
 Tenaga saya masih banyak – Akhyar


 AKHYAR (depan) berada pada prestasi terbaik untuk membantu skuad remaja negara mengharungi kejohanan AFC B-19 di Jakarta, Indonesia bermula hari ini.
Akhyar yang cukup sinonim de­ngan jolokan ‘Messi Malaysia’ hanya mengambil masa kurang 12 jam selepas selesai beraksi bersama skuad senior ketika berdepan Republik Kyrgyzstan untuk aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin sebelum menyertai skuad kendalian Bojan Hodak bagi Kejohanan AFC B-19 yang bermula hari ini hingga 4 November di Jakarta, Indonesia.


“Bagi perlawanan semalam (kelmarin), semuanya berjalan dengan baik dan saya boleh membantu skuad B-19 pula.

“Tidak menjadi masalah bermain dengan skuad senior kerana saya dibawa masuk pun pada lewat permainan.

“Pada masa sama, saya tidak menggunakan banyak tenaga ketika berdepan Kyrgyzstan dan ia membantu saya lebih fokus untuk kejohanan AFC B-19 kali ini,” katanya ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang semalam.

Sementara itu, Akhyar juga me­ngakui dia tidak berdepan kesukaran untuk serasi dengan skuad B-19 meskipun terpaksa menyertai skuad Hodak beberapa jam sebelum berlepas ke kejohanan AFC B-19.

“Buat skuad Hodak, saya akan memberikan komitmen terbaik di Jakarta dan berharap semua rakan-rakan lain dapat membantu saya bermula dengan aksi pembukaan menentang Arab Saudi, Sabtu ini.

“Bagi saya tidak kira pasukan B-19 atau senior tetapi misi yang paling penting adalah untuk membantu negara. Semua pasukan saya telah bermain bersama dan ia tidak menjadi masalah kepada saya untuk menyesuaikan diri atau sebalik­nya,” ujarnya.
SUMBER-KOSMO ONLNE 18 Oktober 2018 3:00 AM18 Oktober 2018 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan