Rabu, 17 Oktober 2018 | 6:30pm

Ketua Jurulatih SKUAD B-19, Bojan
Hodak semasa bertanya kepada Akhyar Rashid sebelum berlepas ke Jakarta,
Indonesia bagi Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Pengalaman sandaran 'Neymar
Kedah'
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
SEPANG: Pengalaman beraksi
bersama skuad senior Harimau Malaya dan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara akan
dijadikan bekalan terbaik buat penyerang handalan dari Kedah, Akhyar Rashid
bagi membantu perjuangan skuad B-19 pada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia
(AFC) di Indonesia, bermula Sabtu ini.
Akhyar, 19, yang turut dikenali
sebagai ‘Neymar Kedah’ sekali lagi menjadi pertaruhan kali ini di bawah
kendalian Bojan Hodak selepas cukup cemerlang membantu skuad B-23 bimbingan
Datuk Ong Kim Swee pada Sukan Asia Indonesia Ogos lalu, serta pasukan senior
kendalian Tan Cheng Hoe yang menyaksikan dia menyumbat beberapa gol dalam aksi
persahabatan antarabangsa.
Jelas adik bekas pemain
kebangsaan dan Kedah, Rafdi Rashid itu, dia sudah bersedia dari segi mental dan
fizikal untuk berdepan cabaran mendatang.
“Saya sentiasa bersedia dan akan
memberi yang terbaik sekiranya diturunkan oleh jurulatih,” katanya ketika
ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini
sebelum berlepas ke Jakarta.
Ujarnya, biarpun baru saja
menyertai pasukan sebaik berakhir aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan
bersama Harimau Malaya di Melaka malam tadi, tiada istilah penat sebaliknya
tetap bersemangat untuk membantu pasukan di Indonesia.
“Tak (penat). Saya terus datang
ke hotel pasukan di Kuala Lumpur dari Melaka. Lagipun malam tadi saya hanya
main pada separuh masa kedua dan tidak penat sangat.
“Tumpuan saya sekarang adalah
untuk membantu pasukan melangkah sejauh mungkin dan pengalaman bersama skuad
senior dan B-23 sebelum ini akan saya gunakan untuk mencari kemenangan dalam
setiap aksi,” katanya.
Skuad negara akan berdepan Arab
Saudi, Tajikistan dan China dalam Kumpulan D dengan misi memburu tempat ke
separuh akhir sekali gus meraih tiket automatik ke Piala Dunia B-20 di Poland
tahun depan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
17 Oktober 2018 | 6:30pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan