Rabu, 17 Oktober 2018 | 6:27pm
Ketua Jurulatih, Bojan Hodak
(kiri) bergambar dengan SKUAD B-19 Kebangsaan sebelum berlepas ke Jakarta,
Indonesia bagi Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Akhyar, Nik Akif penyelamat skuad
B-19
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
SEPANG: Kehadiran dua penyerang
utama Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam skuad muda negara mampu
menambah sengat jentera serangan apabila turun pada Kejuaraan B-19 Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia, bermula Sabtu ini.
Akhyar dan Nik Akif yang baru
saja selesai tugasan bersama skuad senior dalam dua aksi persahabatan menentang
Sri Lanka, Jumaat lalu dan Kyrgyzstan malam tadi, melaporkan diri beberapa jam
sebelum berlepas ke Jakarta pagi tadi.
Malah, sepanjang persiapan sejak
awal bulan ini, Akhyar dan Nik Akif tidak dapat bersama pasukan yang
menyaksikan mereka turut terlepas dua perlawanan persahabatan menentang Emiriah
Arab Bersatu (UAE) yang dilangsung secara tertutup di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi, serta Stadium Shah Alam.
Skuad negara tewas 0-2 di Paroi
sebelum bangkit mengikat UAE 1-1 pada aksi kedua di Shah Alam.
Menurut pengendali pasukan, Bojan
Hodak, kualiti dua pemain berbakat itu mampu memberi jawapan kepada kepincangan
di bahagian depan selain memberi pilihan tambahan buatnya selepas hanya terlalu
bergantung kepada Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Zafuan Azeman.
“Sudah tentu apabila dua pemain
muda ini dipanggil menyertai latihan dengan pasukan senior menunjukkan mereka
memiliki kualiti terbaik untuk bersama pemain lebih senior. Ia sedikit sebanyak
memberi kelebihan kepada kami (skuad B-19) terutamanya untuk memburu gol,”
katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di
sini, hari ini.
“Pada aksi persahabatan, memang
kami menghadapi kesukaran di jentera serangan kerana bukan mudah menentang
pasukan Asia Barat yang mengamalkan permainan keras terutamanya di benteng
pertahanan.
“Kehadiran mereka
setidak-tidaknya dapat memperbaiki posisi serangan serta memudahkan saya
mencatur pemilihan pemain dalam setiap aksi peringkat kumpulan,” kata
pengendali berasal dari Croatia itu.
Malaysia yang hadir selaku juara
Piala AFF, berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Arab
Saudi, Tajikistan dan China.
Anak buah Hodak akan memulakan
kempen menentang Arab Saudi, Sabtu ini diikuti Tajikistan Selasa depan dengan
kedua-dua aksi di Stadium Patriot, Bekasi.
Aksi terakhir berdepan China akan
diadakan di Stadium Pakansari, Bogor serentak dengan aksi antara Arab Saudi dan
Tajikistan di Stadium Patriot.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
17 Oktober 2018 | 6:27pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan