SUKAN»Bola
Ahad, 25 March 2018 | 7:35pm

AKHYAR (kiri) akui aksi mantap
ketika menentang Mongolia belum jamin tempat menentang Lubnan. -Foto fail
Akhyar merendah diri
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Meskipun memperaga
aksi memukau ketika bertemu Mongolia, Akhyar Rashid mengakui ia belum cukup
menjamin tempatnya beraksi pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019
menentang Lubnan, Selasa ini.
Malah, pemain sayap lincah itu
turut menjelaskan dia masih lagi belum mencapai tahap prestasi yang dimahukan
sekali gus menuntutnya terus bekerja keras dan memanfaatkan segala peluang yang
diperoleh ketika bersama skuad kebangsaan.
"Gol pada penampilan sulung
bersama skuad senior sudah tentu menjadi pembakar semangat kepada saya untuk
terus berjuang dan mengekalkan momentum yang sedang diraih ketika ini.
"Bagaimanapun, saya tidak
mahu terlalu selesa dengan satu gol itu kerana saya tetap perlu bersaing untuk
mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama memandangkan ramai lagi pemain yang
turut berkongsi posisi dengan saya.
"Apapun, saya akan
meneruskan kerja keras pada sesi latihan dan jika diberi kepercayaan sekali
lagi oleh jurulatih sama ada dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan, saya
akan tetap memberikan komitmen 100 peratus," katanya ketika ditemui di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Skuad Harimau Malaya berlepas ke
Beirut untuk mengharungi aksi penutup Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019
bertemu pendahulu kumpulan, Lubnan dengan sebarang keputusan tidak mampu
mengubah kedudukan Malaysia yang menghuni tangga tercorot apabila sekadar
meraih satu mata.
Pada aksi persahabatan bertemu
Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu, pemain yang diberi
julukan 'Neymar Kedah' itu masuk pada babak kedua menggantikan pemain
berpengalaman, Mahali Jasuli untuk penampilan pertamanya bersama skuad senior.
Dia muncul sebagai antara pemain
paling menyerlah apabila larian derasnya di bahagian sayap kiri berjaya
mengancam kubu pertahanan Mongolia dan dia mencetak satu gol menerusi satu
percubaan yang tertampan pertahanan lawan untuk gol kedua Malaysia.
Ancaman yang ditunjukkan pemain
sayap Kedah itu turut diakui sendiri pengendali Mongolia, Micheal Weiss yang
menyifatkan pemain berusia 19 tahun itu banyak memberi masalah kepada barisan
pertahanannya pada aksi berkenaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
25 March 2018 | 7:35pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan