Akhyar, Hadi tetap dalam
perancangan
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

PENGENDALI skuad bawah 19 tahun
(B-19) negara, Bojan Hodak menegaskan penyerang Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh
Abdul Razak tetap berada dalam perancangannya meskipun tidak berada dalam
senarai 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula Ahad ini.
Beliau berkata, dua pemain utama
itu serta lapan lagi pemain tidak dapat bersama pasukan bagi latihan persiapan
Kejohanan AFF B-19 memandangkan mereka terikat dengan kempen Liga Malaysia
(Liga-M) yang tetap berlangsung sepanjang Ramadan ini.
"Latihan pusat ini untuk
mengumpul pemain (Piala Presiden) yang tidak beraksi apabila liga berehat
seketika. Kita mahu pemain ini kekal cergas kerana kita akan mengharungi
Kejohanan AFF di Indonesia, Julai ini.
"Ada 10 pemain yang tidak
dapat saya panggil kerana mereka bermain dalam Liga Super dan Liga Perdana
termasuk Akhyar dari Kedah. Seramai 27 pemain yang dipanggil ini bukan senarai
akhir untuk ke Kejohanan AFF, saya akan menilai pemain lain juga," kata
Hodak.
Skuad muda negara akan berlatih
sembilan hari di Wisma FAM dan kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih untuk
dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei bagi latihan dan tiga perlawanan
persahabatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.
Bagaimanapun, Hodak mengakui
beliau bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain pada fasa akhir
sebelum ke Kejohanan AFF memandangkan jadual liga yang padat.
"Saya tidak mempunyai banyak
masa memanggil semua pemain sebelum kejohanan itu nanti, mungkin hanya dua,
tiga hari dapat mengadakan latihan dengan semua pemain. Saya tidak menetapkan
sasaran di kejohanan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tapi
sudah pasti kita mahu menang setiap perlawanan.
"Kita akan cuba mara ke
separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian mengintai peluang ke final. Bagi
saya Kejohanan AFF ini persiapan pasukan sebelum misi utama pada Kejohanan AFC
di Indonesia, Oktober depan," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:09 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan