Isnin, 18 September 2017 | 6:49pm

PEMAIN Kedah, Muhammad Akhyar
Abdul Rashid (kiri) mengasak pemain Pahang, Mohd Faisal Mohd Rosli pada aksi
Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Akhyar tak hilang semangat
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Dua kali kecundang
di pentas final dalam tempoh tiga minggu adalah kekecewaan yang sukar dilalui
penyerang muda negara, Akhyar Abdul Rashid.
Bagaimanapun, dia yang menjadi
tonggak skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang muncul naib juara di Kejohanan
Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B-18 di Yangon, Myanmar semalam, percaya apa
yang dilalui itu akan menguatkan lagi semangatnya bagi mengharungi misi
seterusnya iaitu kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di
Korea Selatan, bulan depan.
"Memang kecewa sangat sebab
dua kali kalah di final dengan Thailand tapi pada saya, ini adalah sebahagian
lumrah dalam bola sepak yang perlu saya hadapi. Banyak yang saya belajar ketika
beraksi di Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan kejohanan AFF ini.
"Saya percaya masih banyak
lagi peluang untuk meraih kejayaan selepas ini, jadi saya hanya perlu berusaha
lebih kuat," kata pemain Kedah itu.
Harapan Akhyar, 18, untuk menebus
kegagalan skuad B-22 negara yang tewas 0-1 kepada Thailand di final Sukan SEA
bulan lalu musnah apabila Malaysia dikecewakan sekali lagi pada final Kejohanan
AFF B-18 di tangan skuad Gajah Perang itu 0-2.
Dia yang meledak tiga gol
sepanjang kempen kejohanan itu dijangka akan terus menjadi sandaran jurulatih
Bojan Hodak pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan, 31
Oktober hingga 8 November depan.
"Kalau kita lihat, tidak ada
banyak jurang antara kita dengan Thailand. Kita bermain baik pada final, cuma
kita leka dua, tiga minit untuk Thailand hukum kita. Jadi kita kena terus
pandang ke depan dan selepas ini untuk Kejohanan AFC, semua pemain perlu lebih
bersedia," kata Akhyar yang sebelum ini membantu skuad B-22 negara layak
ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-22 di China, Januari depan.
Pada pusingan kelayakan AFC B-19,
Malaysia bakal bersaing dengan tuan rumah Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste
dan Brunei dalam Kumpulan F.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
18 September 2017 | 6:49pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan