Sabtu, 19 Mei 2018

Akhyar kecewa terlepas peluang baik

SUKAN»Bola
Ahad, 14 Januari 2018 | 12:50pm
 
AKHYAR Rashid (n0 18) mencuri tumpuan dengan mempamerkan aksi pemain terbaik perlawanan ketika mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua semalam.
Akhyar kecewa terlepas peluang baik
Daripada Aziman Rosdi di Changshu; China
aziman@nstp.com.my
PENYERANG lincah, Akhyar Rashid percaya mereka kini hanya selangkah untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun dengan Arab Saudi menjadi halangan terakhir dalam kempen Kumpulan C di Stadium Kushan, Selasa ini.

Pemain berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan dengan mempamerkan aksi pemain terbaik perlawanan ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua semalam sekali gus menghidupkan peluang mereka merebut salah satu slot ke suku akhir.


"Saya amat berpuas hati dengan persembahan semalam sebab dapat mengikat Jordan seri satu sama. Semua pemain memberikan aksi 100 peratus dan walaupun kami ketinggalan, kami tak cepat mengalah.

"Untuk berdepan Arab Saudi, saya harap kami akan bagi yang terbaik, kami ada peluang ke suku akhir jadi kena fokus," katanya ketika ditemui hari ini.

Akhyar yang hanya masuk selaku pemain gantian ketika Malaysia tewas 1-4 di tangan juara 2013, Iraq pada perlawanan pertama Rabu lalu membalas kepercayaan Kim Swee apabila mengambil tempat N Thanabalan yang mengalami hamstring dalam kesebelasan utama menentang Jordan.
  
AKHYAR dikeluarkan pada minit ke-80 kerana kecederaan namun mengakui tidak terlalu serius dan bersedia untuk beraksi menentang Arab Saudi.
Kelincahan dan kepantasan pemain paling muda di padang itu sukar dibendung pertahanan Jordan hingga dia dikasari untuk Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-39 yang disempurnakan oleh Safawi Rasid.

Malah Akhyar hampir menghadiahkan gol kemenangan buat skuad negara ke atas pasukan yang menduduki tangga ketiga 2013 itu namun percubaannya pada minit ke-66 terkena tiang.

"Sangat kecewa sebab kalau saya berjaya menyempurnakan peluang itu, kami mendahului 2-1 dan situasi akan jadi lain tapi tak ada rezeki untuk saya dan pasukan," kata bintang Kedah itu.

Akhyar dikeluarkan pada minit ke-80 kerana kecederaan namun dia mengakui tidak terlalu serius dan bersedia untuk beraksi menentang Arab Saudi.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 14 Januari 2018 | 12:50pm

Akhyar mahu rebut tempat

SUKAN»Bola
Ahad, 28 Januari 2018 | 12:30pm
 
PEMAIN Kedah, Akhyar Rashid (tengah) cuba mengasak penjaga gol UKM FC pada aksi pramusim, semalam. - Foto Kedah FA
Akhyar mahu rebut tempat
Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
ALOR SETAR: Selepas beraksi mantap bersama skuad bawah 23 tahun negara pada Kejohanan AFC B-23 di China dua minggu lalu, Akhyar Rashid atau digelar 'Neymar Kedah' kini bertekad untuk tidak mensia-siakan apa sahaja peluang diberikan pengendali Kedah, Ramon Marcote dalam aksi Liga Malaysia 2018 yang akan bermula minggu hadapan.

Menurut Akhyar, meskipun menyedari namanya kini meniti di bibir peminat bola sepak, dia tidak mahu terus leka dibuai pujian. Sebaliknya mahu bekerja keras dan 'merebut' tempat dalam kesebelasan utama bersama rakan sepasukan yang lebih senior.

"Saya tidak mahu terus leka dibuai pujian yang boleh melalaikan saya dan untuk berada dalam kesebelasan utama Kedah bukanlah mudah kerana ramai pemain senior dan berbakat besar yang perlu saya rujuk seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi, Syazwan Zainon selain ketua jurulatih, Ramon Marcote.

"Sebagai pemain muda berusia 18 tahun dalam skuad Lang Merah saya perlu melipatgandakan usaha dan bersaing pada tahap yang terbaik dalam usaha membuktikan saya layak berada dalam kesebelasan utama pasukan."

Sebelum ini pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mencabar pemainnya yang beraksi dengan baik di China, untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Kelayakan beraksi dengan skuad negara sebelum ini bukanlah 'lesen' untuk terpilih bersama pasukan dalam liga kerana saya terlebih dahulu perlu menambat hati Marcote dengan aksi yang meyakinkan terlebih dahulu," katanya.

Pada aksi terakhir perlawanan pramusim skuad Lang Merah pada Selasa lalu, Akhyar memukau penonton dengan menghasilkan satu gol melalui gerakan solo yang menarik dan membantu pasukannya menewaskan UKM FC dengan jaringan 2-0.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 28 Januari 2018 | 12:30pm

Akhyar merendah diri


SUKAN»Bola
Ahad, 25 March 2018 | 7:35pm
 
AKHYAR (kiri) akui aksi mantap ketika menentang Mongolia belum jamin tempat menentang Lubnan. -Foto fail
Akhyar merendah diri
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Meskipun memperaga aksi memukau ketika bertemu Mongolia, Akhyar Rashid mengakui ia belum cukup menjamin tempatnya beraksi pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, Selasa ini.

Malah, pemain sayap lincah itu turut menjelaskan dia masih lagi belum mencapai tahap prestasi yang dimahukan sekali gus menuntutnya terus bekerja keras dan memanfaatkan segala peluang yang diperoleh ketika bersama skuad kebangsaan.

"Gol pada penampilan sulung bersama skuad senior sudah tentu menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berjuang dan mengekalkan momentum yang sedang diraih ketika ini.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu selesa dengan satu gol itu kerana saya tetap perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama memandangkan ramai lagi pemain yang turut berkongsi posisi dengan saya.

"Apapun, saya akan meneruskan kerja keras pada sesi latihan dan jika diberi kepercayaan sekali lagi oleh jurulatih sama ada dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan, saya akan tetap memberikan komitmen 100 peratus," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Beirut untuk mengharungi aksi penutup Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu pendahulu kumpulan, Lubnan dengan sebarang keputusan tidak mampu mengubah kedudukan Malaysia yang menghuni tangga tercorot apabila sekadar meraih satu mata.

Pada aksi persahabatan bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu, pemain yang diberi julukan 'Neymar Kedah' itu masuk pada babak kedua menggantikan pemain berpengalaman, Mahali Jasuli untuk penampilan pertamanya bersama skuad senior.

Dia muncul sebagai antara pemain paling menyerlah apabila larian derasnya di bahagian sayap kiri berjaya mengancam kubu pertahanan Mongolia dan dia mencetak satu gol menerusi satu percubaan yang tertampan pertahanan lawan untuk gol kedua Malaysia.

Ancaman yang ditunjukkan pemain sayap Kedah itu turut diakui sendiri pengendali Mongolia, Micheal Weiss yang menyifatkan pemain berusia 19 tahun itu banyak memberi masalah kepada barisan pertahanannya pada aksi berkenaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 25 March 2018 | 7:35pm

Akhyar tak hilang semangat

SUKAN»Bola
Isnin, 18 September 2017 | 6:49pm
 
PEMAIN Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (kiri) mengasak pemain Pahang, Mohd Faisal Mohd Rosli pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Akhyar tak hilang semangat
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Dua kali kecundang di pentas final dalam tempoh tiga minggu adalah kekecewaan yang sukar dilalui penyerang muda negara, Akhyar Abdul Rashid.

Bagaimanapun, dia yang menjadi tonggak skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang muncul naib juara di Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B-18 di Yangon, Myanmar semalam, percaya apa yang dilalui itu akan menguatkan lagi semangatnya bagi mengharungi misi seterusnya iaitu kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Korea Selatan, bulan depan.

"Memang kecewa sangat sebab dua kali kalah di final dengan Thailand tapi pada saya, ini adalah sebahagian lumrah dalam bola sepak yang perlu saya hadapi. Banyak yang saya belajar ketika beraksi di Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan kejohanan AFF ini.

"Saya percaya masih banyak lagi peluang untuk meraih kejayaan selepas ini, jadi saya hanya perlu berusaha lebih kuat," kata pemain Kedah itu.

Harapan Akhyar, 18, untuk menebus kegagalan skuad B-22 negara yang tewas 0-1 kepada Thailand di final Sukan SEA bulan lalu musnah apabila Malaysia dikecewakan sekali lagi pada final Kejohanan AFF B-18 di tangan skuad Gajah Perang itu 0-2.

Dia yang meledak tiga gol sepanjang kempen kejohanan itu dijangka akan terus menjadi sandaran jurulatih Bojan Hodak pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan, 31 Oktober hingga 8 November depan.

"Kalau kita lihat, tidak ada banyak jurang antara kita dengan Thailand. Kita bermain baik pada final, cuma kita leka dua, tiga minit untuk Thailand hukum kita. Jadi kita kena terus pandang ke depan dan selepas ini untuk Kejohanan AFC, semua pemain perlu lebih bersedia," kata Akhyar yang sebelum ini membantu skuad B-22 negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-22 di China, Januari depan.

Pada pusingan kelayakan AFC B-19, Malaysia bakal bersaing dengan tuan rumah Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste dan Brunei dalam Kumpulan F.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 18 September 2017 | 6:49pm

Akhyar tetap dalam perancangan Hodak


SUKAN»Bola
Khamis, 17 Mei 2018 | 5:51pm
 
PEMAIN Kedah, Akhyar Rashid (kanan) tetap berada dalam perancangan pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak. - Foto Sharul Hafiz Zam
Akhyar tetap dalam perancangan Hodak
Oleh Aziman Rosdiaziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak menegaskan penyerang Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap berada dalam perancangannya meskipun tidak berada dalam senarai 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula Ahad ini.  

Beliau berkata, dua pemain utama itu serta lapan lagi pemain tidak dapat bersama pasukan bagi latihan persiapan Kejohanan AFF B-19 memandangkan mereka terikat dengan kempen Liga Malaysia (Liga-M) yang tetap berlangsung sepanjang Ramadan ini.

"Latihan pusat ini untuk mengumpul pemain (Piala Presiden) yang tidak beraksi apabila liga berehat seketika. Kita mahu pemain ini kekal cergas kerana kita akan mengharungi Kejohanan AFF di Indonesia, Julai ini.

"Ada 10 pemain yang tidak dapat saya panggil kerana mereka bermain dalam Liga Super dan Liga Perdana termasuk Akhyar dari Kedah. Seramai 27 pemain yang dipanggil ini bukan senarai akhir untuk ke Kejohanan AFF, saya akan menilai pemain lain juga," kata Hodak.

Skuad muda negara akan berlatih sembilan hari di Wisma FAM dan kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih untuk dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei bagi latihan dan tiga perlawanan persahabatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.

Bagaimanapun, Hodak mengakui beliau bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain pada fasa akhir sebelum ke Kejohanan AFF memandangkan jadual liga yang padat.

"Saya tidak mempunyai banyak masa memanggil semua pemain sebelum kejohanan itu nanti, mungkin hanya dua, tiga hari dapat mengadakan latihan dengan semua pemain. Saya tidak menetapkan sasaran di kejohanan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tapi sudah pasti kita mahu menang setiap perlawanan.

"Kita akan cuba mara ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian mengintai peluang ke final. Bagi saya Kejohanan AFF ini persiapan pasukan sebelum misi utama pada Kejohanan AFC di Indonesia, Oktober depan," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 17 Mei 2018 | 5:51pm

Jaringan gol lonjak semangat Akhyar

SUKAN»Bola
Ahad, 20 Mei 2018 | 11:28am
 
PEMAIN sayap muda Kedah, Akhyar Rashid optimis skuad Lang Merah sudah memiliki semangat kebangkitan. - Foto Kedah FA
Jaringan gol lonjak semangat Akhyar
Oleh Izzali Ismailsukanteam@nstp.com.my

ALOR SETAR: Pemain sayap muda Kedah, Akhyar Rashid yakin Kedah mampu terus konsisten dalam memburu kemenangan pada aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Aman Selasa ini.

Akhyar yang meledak satu gol ketika Kedah bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan minggu lalu, optimis skuad Lang Merah sudah memiliki semangat kebangkitan selepas menambah tiga mata seperti disasarkan.

"Saya yakin dengan kejayaan mengutip tiga mata pada perlawanan ketika bertemu Negeri Sembilan minggu lalu mampu memberi motivasi untuk saya dan rakan-rakan mengekalkan rentak serta dapat memburu kemenangan di laman sendiri kali ini.

"Sumbangan gol ketika menentang Negeri Sembilan turut melonjakkan semangat saya untuk terus berusaha membantu skuad Lang Merah mengukuhkan kedudukan pada carta Liga Super.

"Apa yang penting adalah perancangan diatur jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff yang perlu kami laksanakan dengan sebaik mungkin dan fokus serta berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Dalam pada itu Akyar turut mengakui skuad Pahang kendalian Dollah Salleh kini sudah berwajah baharu dan diperkuatkan selepas kemasukan bekas pemain Terengganu, Issey Nakajima dan bekas penyerang Kelantan, Austin Amutu.

"Saya sedar perlawanan kali ini bukanlah laluan yang mudah bagi kami walaupun kami beraksi di laman sendiri, namun semangat kebangkitan yang dirasainya semua pemain dalam pasukan mampu dijadikan bekalan untuk memburu kemenangan.

"Latihan sebelah malam pada bulan Ramadan ini berjalan dengan lancar dan saya yakin jurulatih mempunyai ramuan terbaik meneruskan kejayaan Kedah dan pastinya dapat mengenalpasti strategi terbaik untuk perlawanan itu nanti.

"Beraksi di laman sendiri harus kami manfaatkan sepenuhnya dan hasrat serta misi kami adalah untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri dan terus tingkatkan kedudukan ke kelompok teratas carta Liga Super," katanya
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 20 Mei 2018 | 11:28am

Khamis, 17 Mei 2018

Akhyar, Hadi tetap dalam perancangan


Akhyar, Hadi tetap dalam perancangan
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
PENGENDALI skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak menegaskan penyerang Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap berada dalam perancangannya meskipun tidak berada dalam senarai 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula Ahad ini.  

Beliau berkata, dua pemain utama itu serta lapan lagi pemain tidak dapat bersama pasukan bagi latihan persiapan Kejohanan AFF B-19 memandangkan mereka terikat dengan kempen Liga Malaysia (Liga-M) yang tetap berlangsung sepanjang Ramadan ini.  

"Latihan pusat ini untuk mengumpul pemain (Piala Presiden) yang tidak beraksi apabila liga berehat seketika. Kita mahu pemain ini kekal cergas kerana kita akan mengharungi Kejohanan AFF di Indonesia, Julai ini.  

"Ada 10 pemain yang tidak dapat saya panggil kerana mereka bermain dalam Liga Super dan Liga Perdana termasuk Akhyar dari Kedah. Seramai 27 pemain yang dipanggil ini bukan senarai akhir untuk ke Kejohanan AFF, saya akan menilai pemain lain juga," kata Hodak.  

Skuad muda negara akan berlatih sembilan hari di Wisma FAM dan kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih untuk dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei bagi latihan dan tiga perlawanan persahabatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.  

Bagaimanapun, Hodak mengakui beliau bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain pada fasa akhir sebelum ke Kejohanan AFF memandangkan jadual liga yang padat.  

"Saya tidak mempunyai banyak masa memanggil semua pemain sebelum kejohanan itu nanti, mungkin hanya dua, tiga hari dapat mengadakan latihan dengan semua pemain. Saya tidak menetapkan sasaran di kejohanan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tapi sudah pasti kita mahu menang setiap perlawanan.  

"Kita akan cuba mara ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian mengintai peluang ke final. Bagi saya Kejohanan AFF ini persiapan pasukan sebelum misi utama pada Kejohanan AFC di Indonesia, Oktober depan," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:09 PM