MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
“KALAU tak selesai di FAM
(Persatuan Bolasepak Malaysia) atau keputusan itu masih belum memihak kepada
kita, KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) akan teruskan kes itu ke pihak berwajib
seterusnya.”
Begitu kata Setiausaha Kehormat
KFA, Asmirul Anuar Aris yang bersedia mengheret isu ‘tapping up’ atau ‘curi’
pemain kebangsaan, Akhyar Rashid ke peringkat lebih tinggi termasuk ke Pusat
Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur atau Mahkamah Timbang
Tara Sukan (CAS) di Switzerland.
Jelasnya, walaupun Johor Darul
Ta’zim (JDT) tidak disebut dalam kes tuntutan pampasan yang menyaksikan
keputusan AIAC memihak KFA, hakikatnya isu ‘tapping up’ belum diselesaikan
kerana ia masih ‘tersangkut’ di peringkat FAM.
“Dalam hal ini kita ambil
tindakan terhadap kedua-duanya iaitu Akhyar dan JDT. Kes Akhyar sudah dibawa ke
AIAC yang mana kita dah dapat keputusannya sementara kes JDT masih belum
berlangsung, masih ada di FAM.
“Kita ada ruang kemuka hak dan
Akhyar ada hak untuk merayu. Kita bergerak atas dasar profesional,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai
jumlah pampasan RM300,000 diputuskan AIAC yang didedahkan pemilik skuad Harimau
Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam, beliau mengakui akan membuat
tuntutan supaya nilainya ditambah, sepadan pelaburan dibuat bagi membangunkan
pemain kelahiran Jitra, Kedah itu.
“Kalau ditambah dengan yuran
perundangan dan sebagainya, KFA akan menerima kira-kira RM327,000. Tetapi
bagaimana dengan soal latihan, perbelanjaan yang kita lakukan untuk ‘menaikkan’
pemain itu sebelum ini kerana jumlah itu juga sepatutnya diambil kira.
“Kita menerima nasihat daripada
peguam yang mengatakan boleh ‘masuk’ kali kedua yang memungkinkan nilai
pampasan itu ditambah. Soal pemain itu mahu membuat rayuan untuk mengurangkan
nilai pampasan, itu hak dia,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, wakil KFA
bersama pasukan peguam menyerahkan bukti dan fakta isu perpindahan kontroversi
pemain Harimau Malaya itu yang didakwa menggunakan pintu belakang ke JDT kepada
Jawatankuasa Status FAM.
Begitupun, keputusan mesyuarat
itu tertangguh kerana perlu mendapatkan keterangan lanjut daripada kedua-dua
pihak terutama JDT yang tidak hadir ketika mesyuarat berkenaan.
Berdasarkan peraturan yang ada,
JDT boleh dikenakan hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (Fifa) sekiranya KFA berjaya membuktikan wujudnya unsur ‘tapping
up’.
Sabtu lalu, skuad Hijau Kuning
menerima khabar gembira apabila AIAC di Kuala Lumpur memutuskan kes pampasan
Akhyar berpihak kepada persatuan berkenaan.
Perkhabaran itu kemudian mendapat
maklum balas Tunku Ismail yang mendedahkan KFA menuntut RM300,000 sebagai wang
pampasan dan mengakui Akhyar tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikannya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 14 January 2020 @ 8:15 PM