Selasa, 27 Mac 2018

Akhyar enggan dabik dada


Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
MESKIPUN memperaga aksi memukau ketika bertemu Mongolia, Akhyar Rashid mengakui ia belum cukup menjamin tempatnya beraksi pada perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, Selasa ini.

Malah, pemain sayap lincah itu turut menjelaskan dia masih lagi belum mencapai tahap prestasi yang dimahukan sekali gus menuntutnya terus bekerja keras dan memanfaatkan segala peluang yang diperoleh ketika bersama skuad kebangsaan.

“Gol pada penampilan sulung bersama skuad senior sudah tentu menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berjuang dan mengekalkan momentum yang sedang diraih ketika ini.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu selesa dengan satu gol itu kerana saya tetap perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama memandangkan ramai lagi pemain yang turut berkongsi posisi dengan saya.

“Apapun, saya akan meneruskan kerja keras pada sesi latihan dan jika diberi kepercayaan sekali lagi oleh jurulatih sama ada dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan, saya akan tetap memberikan komitmen 100 peratus,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Beirut untuk mengharungi aksi penutup Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu pendahulu kumpulan, Lubnan dengan sebarang keputusan tidak mampu mengubah kedudukan Malaysia yang menghuni tangga tercorot apabila sekadar meraih satu mata.

Pada aksi persahabatan bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu, pemain yang diberi julukan ‘Neymar Kedah’ itu masuk pada babak kedua menggantikan pemain berpengalaman, Mahali Jasuli untuk penampilan pertamanya bersama skuad senior.

Dia muncul sebagai antara pemain paling menyerlah apabila larian derasnya di bahagian sayap kiri berjaya mengancam kubu pertahanan Mongolia dan dia mencetak satu gol menerusi satu percubaan yang tertampan pertahanan lawan untuk gol kedua Malaysia.

Ancaman yang ditunjukkan pemain sayap Kedah itu turut diakui sendiri pengendali Mongolia, Micheal Weiss yang menyifatkan pemain berusia 19 tahun itu banyak memberi masalah kepada barisan pertahanannya pada aksi berkenaan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:38 PM

Jumaat, 23 Mac 2018

Pemain muda negara bagus!


Pemain muda negara bagus!
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
JURULATIH Mongolia, Michael Weiss berpendapat, pemain muda negara perlu lebih diberi peluang bersama skuad senior.

   Beliau yang menyaksikan skuad bawah 23 tahun (B-23) kendaliannya tewas 0-2 kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee pada kelayakan Piala AFC di Bangkok, Thailand tahun lalu berkata, Malaysia memiliki ramai pemain muda yang sedang meningkat potensinya.

   "Malaysia pasukan yang bagus, saya menyaksikan skuad B-23 Malaysia tahun lalu. Saya tak tahu kenapa pemain nombor tujuh (Akhyar Rashid) tidak ada dalam kesebelasan utama. Dia banyak memberi masalah kepada kami, dan saya tidak ada banyak pilihan pemain untuk dimasukkan.

   "Malaysia mempunyai pemain yang sedang meningkat, mereka cuma perlu diberi peluang bermain. Tapi ini hanya sekadar pandangan saya saja," katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

   Weiss yang sebelum ini membimbing Filipina nyata berjaya membaca permainan Malaysia apabila pasukannya yang dibarisi ramai pemain separuh profesional dan 80 peratus pemain daripada skuad B-23 berjaya mengikat Harimau Malaya seri 2-2.

   "Saya bersama dengan pasukan Mongolia baru setahun tapi saya pernah bersama Filipina selama tiga tahun, saya tahu bola sepak di Asia Tenggara. Saya banyak membuat kajian dan saya tahu bagaimana nak mengganggu permainan Malaysia.

   "Kita tahu Natxo (Insa) pemain yang bagus di bahagian tengah tapi kita berjaya menyekatnya daripada merancang permainan," katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 5:17 PM

Masih ada sinar buat Harimau Malaya


MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID 23 MAC 2018
Masih ada sinar buat Harimau Malaya
Masih ada sinar buat Harimau Malaya
Pemain negara meraikan jaringan gol ketika bertemu Mongolia malam tadi. Keputusan akhir, Malaysia 2 - 2 Mongolia.
WALAUPUN gagal menamatkan kemarau kemenangan selepas 11 perlawanan, Tan Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya selepas diikat seri 2-2 dengan Mongolia, semalam.

Cheng Hoe berkata, beliau melihat masih ada sinar harapan buat skuad bola sepak negara dengan aksi yang ditunjukkan dalam perlawanan itu, namun cuma nasib sahaja yang memisahkan pasukannya dengan kemenangan.

Katanya lagi, beliau optimis skuad Harimau Malaya akan segera menemui rentak kemenangan dalam perlawanan berikutnya.

“Pemain telah beraksi dengan baik dan kita boleh nampak sudah wujud keserasian sebagai satu pasukan walaupun baru beberapa hari menjalani latihan pusat.

"Beberapa percubaan yang baik juga berjaya diperoleh pemain dalam perlawanan ini, tapi malangnya, palang (gol) menjadi penghalang kepada kita untuk meraih kemenangan.

"Bercakap soal gol yang dibolosi, pada saya ianya akibat kesilapan individu dan kurang konsentrasi. Saya percaya kita masih boleh perbaiki prestasi kerana kita lihat pemain mempunyai lebih keyakinan hari ini," katanya.

Pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Malaysia membuka jaringan pada minit ke-31 setelah kapten Mongolia, Turbaat Daginaa menanduk masuk bola ke gawang sendiri, sebelum Enkhbileg Purevdorj menyamakan kedudukan 11 minit kemudian untuk Mongolia, yang terdiri daripada pemain separuh profesional (semi-pro).

Muhammad Akhyar Rashid kemudian meletakkan skuad Harimau Malaya kembali di hadapan menerusi gerakan menarik pada minit ke-65, namun pasukan lawan berjaya mengikat kedudukan melalui jaringan Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv, enam minit kemudian.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan ialah ketika menewaskan Kemboja 3-2 sewaktu kempen Piala AFF, November 2016.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23 MAC 2018

Akhyar paling mengancam!

MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID 23 MAC 2018
Akhyar
Akhyar
Kelibat Akhyar mencuri tumpuan.
KELIBAT Muhammad Akhyar Rashid dalam aksi persahabatan bertemu Mongolia kelmarin nyata terus mencuri perhatian penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.

Lagenda bola sepak negara, Khalid Ali menyifatkan persembahan yang ditunjukkan pemain itu sungguh luar biasa walaupun hanya dimasukkan di separuh masa kedua.

Jelasnya, Malaysia memerlukan lebih ramai pemain seperti Akhyar jika mahu memperbaiki mutu permainan di masa akan datang.

"Saya memang tabik pemain nombor 7 (Akhyar) kerana dia telah menunjukkan keberanian yang tinggi dalam aksi-aksi antarabangsa.

"Bagi saya, kita memang memerlukan lebih ramai pemain seperti ini yang sentiasa berlari dan sama sekali tidak takut untuk memberi asakan demi asakan untuk membantu negara menghasilkan jaringan.

"Sayangnya, penyerang kita terlalu tumpul. Mungkin Tan Cheng Hoe perlu membariskan lebih ramai pemain muda yang lebih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas ini," katanya.

Mengulas sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menghantar pemain muda berbakat besar seperti Akhyar beraksi di luar negara, Khalid menyifatkan keputusan itu bergantung kepada keperluan.

"Pada saya tidak semestinya kita perlu menghantar pemain kita ke luar negara. Mungkin FAM hanya perlu melantik seorang pengarah teknikal yang benar-benar berkualiti, yang mana individu yang dilantik itulah yang boleh membantu mengembangkan lagi bakat pemain seperti Akhyar untuk terus maju di masa akan datang," katanya lagi.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23 MAC 2018