Khamis, 13 Jun 2019 | 12:25pm

AKHYAR Rashid
Akhyar perlu buang mentaliti 'supersub'
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@mediaprima.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad kebangsaan, Akhyar
Rashid tidak perlu hanya menganggap dirinya sebagai pemain 'supersub' bagi
Harimau Malaya.
Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya bahawa
bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bakal menjadi antara pemain penting dalam
skuad akan datang berdasarkan potensi yang dimilikinya.
Jelas Cheng Hoe, Akhyar yang baru berusia 20 tahun perlu
menggandakan usaha untuk meletakkan prestasinya pada tahap terbaik terutama
dari aspek kecergasan.
TAN Cheng Hoe
"Akhyar bermain dengan sangat baik, dia tidak boleh
fikir bahawa dia hanya pemain supersub. Bagi masa depan dia fikir yang dia juga
boleh berada dalam kesebelasan utama.
"Sudah pasti dia perlu belajar dari satu perlawanan
ke satu perlawanan untuk mendapatkan keyakinan. Saya yakin dia bekerja keras
untuk sampai ke tahap lebih baik.
"Saya selalu menasihatkan dia dan juga pemain yang
lain untuk meningkatkan latihan terutama dalam melakukan latihan tambahan
bersama kelab," katanya pada sidang media selepas perlawanan berdepan
Timor Leste.
Pada aksi kedua playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala
Asia 2023 itu menyaksikan Akhyar disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas
kerap masuk sebagai pemain gantian sebelum ini.
Bekas pemain Kedah itu meledak dua gol dalam dua aksi
timbal balik berdepan Timor Leste dengan Harimau Malaya mara ke pusingan kedua
kelayakan menerusi agregat 12-2.
Walaupun mencatat kemenangan besar, namun Cheng Hoe
menegaskan ia bukan jaminan untuk semua 23 pemain dalam skuad semasa Harimau
Malaya akan kekal untuk aksi pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung
pada September ini.
Sebaliknya, beliau menjelaskan barisan kejurulatihan
Harimau Malaya tetap akan meneruskan pemantauan terhadap prestasi semua pemain
dalam Liga Malaysia (Liga M).
"Kami tahu September nanti kami akan jumpa pasukan
jauh lebih baik seperti Iran, Jepun, Korea Selatan dan Qatar. Jadi pemain perlu
bersedia hadapi segala tekanan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 13 Jun 2019 | 12:25pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan