MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SELEPAS dikritik hebat oleh
segelintir pihak yang mengatakan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tempat
‘pembunuh karier’ akhirnya dijawab pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
yang menyifatkan dakwaan itu tidak tepat.
Jelas Tunku Ismail, ia sengaja
ditimbulkan bagi memberi persepsi buruk untuk menakut-nakutkan mengenai minit
permainan terhad seseorang pemain apabila menyertai skuad Harimau Selatan.
Sebaliknya beliau tampil
mempertahankan polisi kelab itu yang menekankan aspek persaingan dalam pasukan
bagi merebut tempat.
Katanya, pemain muda seperti
Safawi Rasid dan Akhyar Rashid adalah bukti pasukan itu sentiasa menyokong
perkembangan karier pemain walaupun baru berusia 22 dan 20 tahun.
“Kalau nak main setiap perlawanan
pergi PKNP FC dan Felda United. Anda akan dapat kesebelasan pertama bola sepak
setiap perlawanan.
AFIQ (kiri) kerap beraksi dalam
kesebelasan utama JDT. — FOTO Hairul Anuar Rahim
“Untuk berada dalam kelab bola
sepak profesional, anda perlu berjuang untuk mendapatkannya. Itu yang
menjadikannya seorang pemain bola profesional.
“Tapi kalau sebagai pemain dan
tak nak bertarung untuk dapatkan tempat jadi anda tidak akan menjadi baik,
pasal anda (pemain) akan berada dalam kedudukan selesa.
“Dulu saya bawa Safawi ketika dia
berusia 19 tahun dan kini dia bermain untuk setiap perlawanan. Adam Nor Azlin
(pertahanan) kini mendahului senior di sana dan bermain dalam ACL (Liga
Juara-Juara Asia). Malah, Safawi dan Akhyar bermain dalam ACL,” katanya.
Tunku Ismail turut menjadikan
pemain tengah, Afiq Fazail sebagai contoh tepat seseorang pemain berpotensi
mengalami peningkatan prestasi hasil pengalaman beraksi bersama JDT.
Ujarnya, sikap tidak pernah
berputus asa menyaksikan Afiq kini berjaya disenaraikan dalam skuad Harimau
Malaya bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu
Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini.
“Dulu ada orang kenal Afiq
Fazail? Tapi dia bermain untuk tempatnya, dekat tengah kita ada Natxo (Natxo
Insa), kita ada Hariss (Hariss Harun) dan yang lain juga tapi kerana dia
bertarung untuk tempat dalam kesebelasan utama, hari ini dia menjadi semakin
baik hingga dipanggil peringkat kebangsaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:12 PM