AKHYAR RASHID
13 Jun 2019
9:51 PM
KUALA LUMPUR -
Penyerang muda negara, Akhyar Rashid sudah bersedia menggalas tanggungjawab
lebih besar bersama skuad Harimau Malaya dengan memastikan posisi sayap kiri
kekal miliknya selepas ini.
Akhyar, 20,
yang meledak satu gol ketika membantu pasukan negara membenam Timor Leste 5-1
dalam playoff kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu
berjaya menampilkan aksi mantap sepanjang 90 minit permainan dengan kelibatnya
sukar dikekang pertahanan lawan.
Kemasukannya
sebagai pemain gantian juga tidak mengecewakan apabila turut mencetak satu gol
ketika meraih kemenangan 7-1 ke atas Timor Leste, Jumaat lalu sekali gus
membolehkan Malaysia meraih agregat besar 12-2 untuk mara ke pusingan kedua.
“Saya amat
berterima kasih kepada jurulatih dan semua kerana memberi peluang (mengisi
kesebelasan utama) dalam perlawanan kelmarin.
“Atas
kepercayaan itu, Alhamdulillah saya dapat beri aksi terbaik. Saya sangat
terharu sebab semua bagi komitmen 100 peratus bagi memastikan kita ke pusingan
berikutnya.
“Bagi saya kalau
jurulatih sedia nak letak saya (kesebelasan utama), saya bersedia untuk
bermain,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Sejak
menyertai pasukan senior, Akhyar yang lebih mesra disapa Mat Yat sering
dianggap sebagai ‘supersub’ kerana kerap diturunkan sebagai gantian bagi
menghidupkan bahagian serangan.
Bagaimanapun,
pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi kepercayaan kepadanya dalam
perlawanan timbal balik menentang Timor Leste untuk mengisi kesebelasan utama
menggantikan Syazwan Zainon yang direhatkan.
Adik kepada
bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu jelas tidak mensia-siakan peluang
keemasan itu apabila mempamer aksi terbaik dan turut meledak gol bagi membalas
kepercayaan Cheng Hoe. – SUMBER UTUSAN ONLINE 13 Jun 2019 9:51 PM