Rabu, 22 Ogos 2018 | 5:45pm

MUHAMMAD Akhyar ketika sesi
latihan skuad negara pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Arena Gelora
Bung Karno, semalam. - Foto BERNAMA
Akhyar sudah sedia
porak-perandakan benteng Jepun
Oleh Azidan Nahar dan Azlan
Muhammad Zain
sukanteam@nstp.com.my
JAKARTA: Pemain lincah negara,
Muhammad Akhyar Abdul Rashid sudah bersedia sepenuhnya untuk mengkucar-kacirkan
pertahanan Jepun pada aksi 16 terbaik acara bola sepak Sukan Asia
Jakarta-Palembang 2018, Jumaat ini.
Penyerang Kedah itu dikasari
dengan teruk dalam satu insiden di penghujung perlawanan menentang Bahrain
selain mengalami sedikit kecederaan pangkal paha.
"Saya rasa tiada masalah
besar dengan kecederaan ini, cuma kejang sedikit sebab bermain dua perlawanan
penuh.
"Saya berharap tempoh rehat
beberapa hari sebelum menentang Jepun mencukupi," katanya.
Dia memainkan peranan penting
dalam kemaraan skuad negara dengan kelincahannya apabila meledak satu gol dan
mendapatkan dua sepakan penalti.
"Saya sedar kami (Syafiq
Ahmad dan Safawi Rasid) di jentera serangan akan dikawal rapi, namun apa yang
penting mengikut arahan jurulatih dan perlu menjaga kecergasan. Kami perlu
bertukar hantaran dengan lebih pantas.
"Kami menyaksikan mereka
menentang Vietnam tempoh hari, ternyata mereka bagus dalam aspek taktikal dan
teknikal serta kecergasan," katanya.
Malaysia akan memburu tiket suku
akhir menentang Jepun di Stadium Patriot Chandrabhaga dekat Bekasi.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
22 Ogos 2018 | 5:45pm